Pada 22hb Disember 2012, saya mendaftar dan mulai mengikuti kelas terjemahan di Persatuan Penterjemah Malaysia. Teruja kerana sudah lama tidak bergelar pelajar dan kali ini pula untuk belajar bahasa. Saya sangat minat dengan bahasa dan sejak di bangku sekolah, saya hanya dapat keputusan yang cemerlang bagi subjek Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris. Di universiti pun, saya gembira belajar bahasa. Yang lain-lain sederhana sahaja.
Sungguhlah ilmu Allah ini amat luas. Selama ini mempelajari bahasa, saya rasa ia amat mudah. Mungkin kerana saya minat membaca dan suka dengan lenggok bahasa yang indah. Tetapi di kelas kali ini, saya rasa macam balik ke alam sekolah menengah. Terlalu banyak perkara baru yang dipelajari dan perlu difahami. Bukan mudah untuk menjadi penterjemah yang baik kerana perlu peka dengan banyak perkara berkaitan bahasa.
Perlu tahu morfologi. Perlu pandai menggunakan tatabahasa dan sintaksis yang betul (ohh, apakah semua itu?). Perlu faham peristilah dan ejaan yang betul. Gaya bahasa, pemilihan perkataan dan istilah yang sesuai dengan teks yang hendak diterjemah..dan macam-macam lagi. Hari ini kami belajar laras bahasa dan membuat terjemahan secara langsung di dalam kuliah. Teks yang diberi nampak mudah untuk difahami, tetapi memerlukan kepakaran untuk diterjemah. Pensyarah kami menekankan bahawa orang yang selalu menggunakan bahasa rojak sebenarnya tidak menguasai kedua-dua bahasa. Hmmm..macam saya la tu!
Ini baru permulaan. Saya tak sabar nak belajar topik-topik lain yang seterusnya. Saya akan bertemankan Kamus Dewan yang beratnya hampir sama dengan berat saya, dan kamus-kamus lain yang disarankan. Saya akan lebih sering menghadap komputer untuk "Google" ilmu bahasa. Saya akan tambah kesibukan saya yang sudah hampir maksimum sekarang ini demi menguasai ilmu bahasa yang indah.
Untuk lembaran ini, saya kira saya berjaya menulis dalam Bahasa Malaysia sepenuhnya. Mungkin nampak macam sangat "belia" atau "minah skema". Sebenarnya saya juga berperasaan yang sama, tapi sesekali apa salahnya ;-)